Container Icon

BELAJAR MEMBACA

Belajar Membaca

MEMBACA merupakan satu amalan yang seharusnya dipupuk dari kecil lagi malah ia adalah satu kemahiran yang seharusnya 'diasah' dalam usaha memantapkan lagi tahap pembacaan.Ini kerana membaca adalah satu amalan mulia yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan sepatutnya juga menjadi aktiviti harian. 

Dalam senario ini,setiap individu mempunyai cara serta gaya masing-masing untuk menghabiskan satu-satu bahan bacaan, cuma yang membezakan sama ada cepat atau lambat. Membaca merupakan satu kemahiran yang boleh dipertingkatkan sekiranya ia dilakukan dengan teknik-teknik yang betul.

Terdapat lima peringkat proses membaca, iaitu:
a.Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan dilihat. 
b.Mengait lambang atau perkataan dengan bunyi dan makna. 
c.Menterjemah makna perkataan dan mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada. 
d.Mengumpul dan mencantum idea, perkataan dan ayat menjadi suatu idea yang lengkap. 
e.Cuba menghuraikan atau menjelaskan idea yang didapati kepada diri sendiri, atau kepada orang lain

 
KEFAHAMAN BACAAN 


Tujuan pembacaan adalah untuk memahami apa-apa yang dibaca. Tanpa pemahaman, pembacaan itu menjadi sia-sia.. Keeratan hubungan bacaan dengan kefahaman itu digambarkan oleh Marohaini dalam bukunya Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman (1999) dengan ungkapan “bacaan ialah kefahaman”. Hal ini seratus peratus benar bagi situasi bacaan peringkat tinggi yang menjadi matlamat akhir segala usaha latihan membaca. Bagi bacaan peringkat pertengahan seperti bacaan mekanis atau nyaring, kebenaran pandangan ini tidak semestinya seratus peratus.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) mentakrifkan kefahaman sebagai keupayaan atau kemampuan memahami akan sesuatu yang dipelajari atau yang dibaca. Secara teknikal, Marohaini mentakrifkan kefahaman sebagai “keupayaan menubuh, mentafsirkan, dan menilai sesuatu berkaitan dengan perkara atau apa-apa yang dibaca”. Kedua-dua takrif ini menekankan keupayaan pemikiran memproses maklumat semasa membaca, iaitu daripada keupayaan pemikiran yang mudah hingga kepada proses pemikiran yang sangat rencam. Kefahaman membaca bertahap-tahap.





TAHAP KEFAHAMAN MEMBACA


Tahap kefahaman bacaan ini dikemukakan oleh Frank Smith. Terdapat empat tahap itu ialah literal, inferens, penilaian, dan kreatif.

         i.       Literal. 

Dari segi bahasa, literal bermaksud berasaskan makna sebenar atau makna biasa kata-kata yang digunakan, bukan makna kiasan atau makna yang tersirat. Tahap ini hanya memerlukan proses pemikiran biasa. Pembaca hanya perlu mengingat dan menyatakan apa-apa yang terdapat dalam teks. Antara kemahiran literal ialah memahami makna perkataan, termasuk menyatakan perkataan seerti dan perkataan berlawan bagi sesuatu perkataan yang terdapat dalam teks. Kemahiran lain yang terlibat ialah memahami penggunaan tanda baca, mengecam dan mengingat isi teks, dan menyatakan urutan peristiwa. Sebagai contoh, jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut hanya memerlukan proses pemikiran literal yang sangat mudah:

1. Apakah peristiwa yang berlaku pada petang itu?
2. Di manakah peristiwa itu berlaku?




         ii.             Inferens.
 

Dari segi bahasa, inferens bermaksud kesimpulan yang dibuat berdasarkan fakta atau asas tertentu. Tahap ini memerlukan proses pemikiran yang kompleks. Pembaca perlu menggunakan maklumat literal dan pengetahuan sedia ada untuk membuat kesimpulan. Antara kemahiran pemahaman yang terlibat ialah menyatakan sebab akibat, membanding beza, mengesan tujuan penulis, mengesan idea tersirat, membuat analogi, dan membuat ramalan. Jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut menggunakan tahap kefahaman inferens:

1. Jelaskan hikmah di sebalik kemalangan itu terhadap diri Siti dan keluarganya?


iii.        Penilaian.  

Tahap ini memerlukan proses pemikiran yang lebih kompleks jika dibandingkan dengan tahap inferens. Pembaca perlu menggunakan kemahiran literal dan inferens untuk melakukan pertimbangan yang kritis seperti menerima atau menolak pandangan penulis. Antara kemahiran pemahaman yang terlibat ialah menilai sama ada sesuatu peristiwa, watak, atau isu merupakan realiti atau fantasi sama ada sesuatu penyataan ialah fakta atau pendapat,sesuatu penyataan  atau kebenaran dan menilai kewajaran, ketepatan, dan kesesuaian tindakan watak dengan memberi alasan. Jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut menggunakan tahap kefahaman penilaian.

1. Setakat manakah anda bersetuju dengan pengarang bahawa suri rumah tangga yang tidak bekerja lebih setia kepada suami berbanding dengan wanita bekerjaya?



iv.         Kreatif.  

Dari segi bahasa, kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baharu dan asli. Seseorang pembaca dikatakan berada pada tahap kefahaman kreatif apabila dia dapat “merasai”, “menikmati” dan “menghayati” apa-apa yang dibacanya. Bahan bacaan yang digunakan termasuk dalam kategori kreatif juga seperti puisi, cerpen dan drama. Sebagai contoh, seseorang yang berasa bahawa dirinya hidup bersama-sama watak-watak dalam sesuatu cerita yang sedang dibacanya dikatakan menghayati cerita itu. Antara kemahiran memahami yang tergolong dalam tahap kreatif pula ialah keupayaan menyatakan keberkesanan gaya bahasa dan gaya penulisan untuk menimbulkan kesan yang diharapkan seperti keinsafan dalam diri pembaca.








 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment