Container Icon

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA



PENDEKATAN CERAKINAN


1)     Pendekatan ini dikenali juga pendekatan analisis.

2)    Pendekatan pengajaran ini adalah mendahulukan unsur yang
besar, kemudian unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur
yang kecil yang membentukkan struktur yang besar tersebut.

3)   Pengajaran bacaan ini dimulakan dengan memperkenalkan
ayat kepada murid-murid kemudian ayat itu dicerakinkan
kepada perkataan-perkataan, daripada perkataan dipecahkan
kepada suku kata dan seterusnya huruf-huruf. Huruf-huruf suku
kata perkataan.







PENDEKATAN ELEKTIK

1)     Pendekatan ini juga dikenali pendekatan campuran.

2)    Ia mengabungkan kedua-dua pendekatan iaitu pendekatan
binaan dan juga pendekatan cerakinan.

3)    Pendekatan elektik mengambil ciri-ciri yang terbaik daripada kedua-duanya,
disesuaikan dengan keadaan murid-murid, situasi bilik
darjah, bahan pengajaran dan sebagainya.

4)   Pendekatan ini mestilah dijalankan secara sistematik dan
dirancangkan sebaik-sebaiknya.

5)   Ia juga mestilah mempertimbangkan  sifat-sifat ejaan bahasa Malaysia yang
fonemik, struktur suku kata, tatabahasa, sistem sebutan
dan sebagainya agar pengajaran dapat meninggalkan
kesan yang sebaik-baiknya kepada murid-murid.







PENDEKATAN BINAAN

1) Pendekatan ini juga dikenali sebagai pendekatan sintesis. Pendekatan ini menghasilkan kaedah abjad.Kemahiran menulis diterapkan sebelum diajar untuk membaca dengan mudah.
Dalam pendekatan binaan, murid akan diajar dengan cara atau kaedah dalam menulis abjad, seterusnya suku kata,perkataan, frasa, ayat sehingga mereka boleh mencapai kaedah penulisan pelahiran iaitu melahirkan wacana dengan baik.

2) Sebagai contoh, bagi peringkat pratulisan, murid akan diperkenalkan dengan beberapa bentuk yang seakan-akan membentuk huruf seperti bentuk condong, bulatan, separa bulat, zig-zag dan sebagainya.Hal ini bertujuan untuk melatih kemahiran otot halus mereka agar bersedia sebelum menulis abjad.
3) .Setelah mereka berkebolehan dan mengetahui cara untuk menulis kesemua abjad, maka guru akan membimbing murid untuk membina suku kata mengikut diagraf tertentu iaitu suku kata terbuka dan suku kata tertutup seperti perkataan kv+kv, atau kv+kvk dan sebagainya.Hal ini menunjukkan murid sudah bersedia untuk menulis secara mekanis iaitu menulis frasa,klausa, ayat dan seterusnya. 


contohnya:

Untuk mengajar perkataan “ botol ”, murid-murid

diperkenalkan dahulu dengan huruf-huruf

“b”, “o”, “t”, “o” dan “l” dan daripadanya dibentuk

suku kata “bo” dan “tol”, kemudian
digabungkan menjadi “botol”.










  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PEMILIHAN BAHAN BACAAN



PEMILIHAN BAHAN BACAAN.
Pemilihan bahan bacaan yang mudah difahami oleh pembaca merupakan alat pengajaran yang paling berkesan terutama jika bertujuan untuk pendidikan. Oleh itu, pemilihan bahan bacaan yang baik dapat dilihat dari pelbagai aspek seperti reka bentuk tulisan, ilustrasi dan warna, perbendaharaan kata, konsep yang sukar, ayat, dan organisasi teks. 

  1. Faktor tulisan yang jelas.

  •  Faktor ini mengambil kira saiz tulisan, jenis fon, jarak antara huruf , jarang antara baris, saiz muka surat, ketebalan cetakan tulisan, ketebalan  kertas dan pelbagai lagi.
  • Semua ini, didapati boleh mempengaruhi kebolehbacaan bahan kerana jenis dan saiz fon yang berbeza diperlukan untuk kategori pembaca yang berbeza

2.  Faktor ilustrasi dan warna.
  • Faktor ini membantu meningkatkan atau mengurangkan minat pembaca kepada sesuatu teks bergantung kepada persembahan dan penggunaannya dalam bacaan.
  • Kajian menunjukkan kanak-kanak amat meminati bahan bacaan yang banyak mengandungi ilustrasi sekaligus memudahkan mereka membaca bahan tersebut kerana adanya faktor minat di situ.
  • Kajian oleh Andrews & Scharff (2002) menunjukkan murid-murid pra sekolah lebih meminat buku yang bergambar terang dan realistik berbanding buku-buku yang mengandungi gambar-gambar terang dan abstrak, suram dan realistik serta suram dan abstrak. Kajian mereka ini telah membuktikan bahawa jenis ilustrasi yang digunakan dalam bahan bacaan memberi kesan kepada pembacanya.

3.      Faktor perbendaharaan kata.
  • Faktor ini paling penting dalam menentukan tahap kesukaran bahan bacaan.
  • Terdapat dua cara yang biasa digunakan untuk mengukur kesukaran teks melalui faktor ini iaitu dengan mengukur panjang perkataan dan kekerapan perkataan.
  •  Perkataan yang panjang merupakan perkataan yang jarang digunakan manakala perkataan yang kerap digunakan merupakan perkataan yang mudah kerana lebih mudah dikenali dan difahami. 

4.      Faktor ayat.
  • Jika struktur ayat adalah kompleks, pemahaman terhadap petikan akan menjadi sedikit sukar.
  • Kajian menunjukkan penggunaan perkataan penerangan yang berlebihan seperti perkataan lebih suka, lebih kurang, sedikit, dan beberapa menyebabkan kefahaman teks menurun.
  • Manakala, penggunaan perkataan kemungkinan seperti mungkin, selalunya, boleh jadi dan kadang kala  menyebabkan kekaburan dan ketidakjelasan teks yang dibaca.
  •  Kesukaran ayat boleh dikategorikan kepada lima iaitu:
              a.       Kata kerja berbanding kata kerja pasif,
              b.      Proses membentuk kata nama,
              c.       Kata kerja bantu,
              d.      Bilangan klausa dalam ayat; dan 
              e.       Pemahaman dan pengantian.


5.      Faktor susunan teks.
  • Faktor ini berkait rapat dengan bagaimana sesuatu teks dipersembahkan.
  • Susunan teks mengambil kira perkara-perkara seperti perenggan, tajuk-tajuk kecil, penggunaan perkataan yang digariskan, dicondongkan dan yang ditebalkan.
  • Perkara-perkara ini digunakan untuk menjadikan sesebuah teks itu lebih mudah difahami.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

MASALAH DALAM MEMBACA



MASALAH DALAM MEMBACA. 
Masalah dalam bacaan bukanlah satu isu baharu. Namun demikian masalah ini tidak boleh dipinggir begitu sahaja. Seluruh sistem pembelajaran murid akan lumpuh andainya mereka menghadapi masalah dalam bacaan. Oleh itu, kami akan membincangkan punca berlakunya masalah ini yang dipengaruhi oleh beberapa faktor.  
  1.  Faktor fizikal.

a.       Penglihatan.
Masalah penglihatan yang dihadapi berkemungkinan akan menyebabkan kesukaran untuk mencerap imej huruf yang dipaparkan dalam bentuk bertulis. Ketidakupayaan membaca mungkin dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut:

·     Juling – memfokuskan kedua-dua mata ke arah yang sama sehingga imej suatu benda kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya.
·   Rabun – tidak dapat melihat pada jarak yang jauh untuk rabun dekat, manakala ketidakupayaan melihat jarak dekat untuk rabun jauh.
·         Amblyopiks – satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.

b.      Persepsi penglihatan.
·   Perkataan seolah-olah satu percampuran huruf yang tidak bermakna seperti muzik menjadi mzuki.
·         Huruf atau perkataan menjadi terbalik seperti b menjadi d atau bas menjadi das.
·         Perkataan kelihatan seperti imej cermin.

c.       Pendengaran (Auditori).
Masalah pendengaran yang teruk akan menganggu proses belajar membaca. Walau bagaimanapun, pelajar yang mengalami masalah pendengaran yang ringan masih boleh dibantu dengan mempelajari teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Masalah pendengaran juga menyebabkan berlakunya masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. 
  


2.      Faktor Neurologikal. 
Bahagian neurologi boleh memberi kesan kepada kebolehan membaca. Kecederaan otak mungkin terjadi sejak lahir ataupun disebabkan oleh kecederaan, penyakit atau kesan bahan toksik yang tercemar pada bahagian otak. Keadaan ini boleh menyebabkan wujudnya simptom Hyperlexia yang merujuk kepada masalah lambat perkembangan bahasa dan akal yang seterusnya menyebabkan masalah ketidakupayaan membaca dan pembelajaran yang serius.

3.      Faktor keturunan.
Faktor keturunan amat kuat dalam mempengaruhi kemampuan untuk belajar contoh seperti kanak-kanak kembar. Kajian telah mengaitkan pencapaian pelajar membaca dengan latar belakang keluarga yang menunjukkan pelajar yang berasal daripada keluarga yang tidak tahu membaca lebih lemah dalam pencapaian membaaca berbanding pelajar yang berasal daripada keluarga yang tahu membaca. Hal ini kerana persekitaran membaca dalam keluarga akan juga mempengaruhi minat anak-anak untuk mengaplikasikannya.

4.      Faktor emosi.
Masalah emosi pelajar boleh mengganggu proses pembacaan seterusnya pencapaian mereka dalam pembelajaran. Kegagalan memahami proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah akan menambah lagi kesan emosi dalam diri mereka sehingga menjadikan mereka kurang bermotivasi, malas, rendah diri dan sebagainya.

5.      Faktor sosioekonomi. 
Status sosioekonomi (SES) kerap menjadi salah satu pemboleh ubah dalam kajian yang berkaitan pencapaian pelajar dalam membaca. Kanak-kanak daripada SES rendah biasanya mempunyai pencapaian yang rendah berbanding kanak-kanak daripada SES tinggi. Selain itu, keturunan kaum dan perbezaan budaya juga boleh mempengaruhi pencapaian pelajar dalam membaca.












  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

BELAJAR MEMBACA

Belajar Membaca

MEMBACA merupakan satu amalan yang seharusnya dipupuk dari kecil lagi malah ia adalah satu kemahiran yang seharusnya 'diasah' dalam usaha memantapkan lagi tahap pembacaan.Ini kerana membaca adalah satu amalan mulia yang dapat memberi manfaat kepada diri sendiri dan sepatutnya juga menjadi aktiviti harian. 

Dalam senario ini,setiap individu mempunyai cara serta gaya masing-masing untuk menghabiskan satu-satu bahan bacaan, cuma yang membezakan sama ada cepat atau lambat. Membaca merupakan satu kemahiran yang boleh dipertingkatkan sekiranya ia dilakukan dengan teknik-teknik yang betul.

Terdapat lima peringkat proses membaca, iaitu:
a.Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan dilihat. 
b.Mengait lambang atau perkataan dengan bunyi dan makna. 
c.Menterjemah makna perkataan dan mengaitkannya dengan pengetahuan sedia ada. 
d.Mengumpul dan mencantum idea, perkataan dan ayat menjadi suatu idea yang lengkap. 
e.Cuba menghuraikan atau menjelaskan idea yang didapati kepada diri sendiri, atau kepada orang lain

 
KEFAHAMAN BACAAN 


Tujuan pembacaan adalah untuk memahami apa-apa yang dibaca. Tanpa pemahaman, pembacaan itu menjadi sia-sia.. Keeratan hubungan bacaan dengan kefahaman itu digambarkan oleh Marohaini dalam bukunya Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman (1999) dengan ungkapan “bacaan ialah kefahaman”. Hal ini seratus peratus benar bagi situasi bacaan peringkat tinggi yang menjadi matlamat akhir segala usaha latihan membaca. Bagi bacaan peringkat pertengahan seperti bacaan mekanis atau nyaring, kebenaran pandangan ini tidak semestinya seratus peratus.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) mentakrifkan kefahaman sebagai keupayaan atau kemampuan memahami akan sesuatu yang dipelajari atau yang dibaca. Secara teknikal, Marohaini mentakrifkan kefahaman sebagai “keupayaan menubuh, mentafsirkan, dan menilai sesuatu berkaitan dengan perkara atau apa-apa yang dibaca”. Kedua-dua takrif ini menekankan keupayaan pemikiran memproses maklumat semasa membaca, iaitu daripada keupayaan pemikiran yang mudah hingga kepada proses pemikiran yang sangat rencam. Kefahaman membaca bertahap-tahap.





TAHAP KEFAHAMAN MEMBACA


Tahap kefahaman bacaan ini dikemukakan oleh Frank Smith. Terdapat empat tahap itu ialah literal, inferens, penilaian, dan kreatif.

         i.       Literal. 

Dari segi bahasa, literal bermaksud berasaskan makna sebenar atau makna biasa kata-kata yang digunakan, bukan makna kiasan atau makna yang tersirat. Tahap ini hanya memerlukan proses pemikiran biasa. Pembaca hanya perlu mengingat dan menyatakan apa-apa yang terdapat dalam teks. Antara kemahiran literal ialah memahami makna perkataan, termasuk menyatakan perkataan seerti dan perkataan berlawan bagi sesuatu perkataan yang terdapat dalam teks. Kemahiran lain yang terlibat ialah memahami penggunaan tanda baca, mengecam dan mengingat isi teks, dan menyatakan urutan peristiwa. Sebagai contoh, jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut hanya memerlukan proses pemikiran literal yang sangat mudah:

1. Apakah peristiwa yang berlaku pada petang itu?
2. Di manakah peristiwa itu berlaku?




         ii.             Inferens.
 

Dari segi bahasa, inferens bermaksud kesimpulan yang dibuat berdasarkan fakta atau asas tertentu. Tahap ini memerlukan proses pemikiran yang kompleks. Pembaca perlu menggunakan maklumat literal dan pengetahuan sedia ada untuk membuat kesimpulan. Antara kemahiran pemahaman yang terlibat ialah menyatakan sebab akibat, membanding beza, mengesan tujuan penulis, mengesan idea tersirat, membuat analogi, dan membuat ramalan. Jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut menggunakan tahap kefahaman inferens:

1. Jelaskan hikmah di sebalik kemalangan itu terhadap diri Siti dan keluarganya?


iii.        Penilaian.  

Tahap ini memerlukan proses pemikiran yang lebih kompleks jika dibandingkan dengan tahap inferens. Pembaca perlu menggunakan kemahiran literal dan inferens untuk melakukan pertimbangan yang kritis seperti menerima atau menolak pandangan penulis. Antara kemahiran pemahaman yang terlibat ialah menilai sama ada sesuatu peristiwa, watak, atau isu merupakan realiti atau fantasi sama ada sesuatu penyataan ialah fakta atau pendapat,sesuatu penyataan  atau kebenaran dan menilai kewajaran, ketepatan, dan kesesuaian tindakan watak dengan memberi alasan. Jawapan terhadap soalan-soalan yang berikut menggunakan tahap kefahaman penilaian.

1. Setakat manakah anda bersetuju dengan pengarang bahawa suri rumah tangga yang tidak bekerja lebih setia kepada suami berbanding dengan wanita bekerjaya?



iv.         Kreatif.  

Dari segi bahasa, kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baharu dan asli. Seseorang pembaca dikatakan berada pada tahap kefahaman kreatif apabila dia dapat “merasai”, “menikmati” dan “menghayati” apa-apa yang dibacanya. Bahan bacaan yang digunakan termasuk dalam kategori kreatif juga seperti puisi, cerpen dan drama. Sebagai contoh, seseorang yang berasa bahawa dirinya hidup bersama-sama watak-watak dalam sesuatu cerita yang sedang dibacanya dikatakan menghayati cerita itu. Antara kemahiran memahami yang tergolong dalam tahap kreatif pula ialah keupayaan menyatakan keberkesanan gaya bahasa dan gaya penulisan untuk menimbulkan kesan yang diharapkan seperti keinsafan dalam diri pembaca.








 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS